Hishamuddin Rais: Manusia & Kebodohannya
MANUSIA DAN KEBODOHANNYA
oleh Hishamuddin Rais
Kali ini saya adalah pembawa berita jahat. Saya adalah penyebar berita gelap. Saya sedang menaburkan berita yang menakutkan. Saya melakukan ini kerana saya merasakan masa dan ketikanya telah sampai dimana kita semua wajib sedar dan bersedia untuk menerima hakikat bahawa tamadun manusia yang wujud pada hari ini telah sampai ke tahap yang tidak boleh lagi ditolong bantu.
Apakah ini petanda akhir zaman? Sama ada ini petanda seperti yang tertulis dalam kitab-kitab suci pelbagai agama, tidalah saya tahu. Dalam hal ini saya tidak bagitu arif. Tetapi apa yang saya yakin ialah tanda-tanda kemusnahan tamadun yang kita nikmati ini telah semakin jelas. Tamadun kita yang berasaskan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan bahan bakar petrolium sedang dalam keadaan nazak dan akan terus tergelincir untuk pecah berderai.
Kenapakah saya bagitu pesimis? Saya bukan pesimis tetapi saya seorang realis. Ketika saya menulis ini, mengikut laporan Bernama (Ahad 21 Januari 2007) masih ada lebih dari 50,960 rakyat Malaysia yang berkampung di 115 pusat pemindahan banjir. Dalam laporan yang sama, Sabah telah diberitakan akan mendapat serangan banjir pula. Hujan masih lagi turun di Pantai Timur Semenanjung. Kuala Lumpur semakin kerap diserang olih banjir kilat.
Sebenarnya bukan kita di Malaysia sahaja yang sedang mengalami mala petaka ini. Pada 19hb Januari 2007, dari laporan ajensi berita luar negara saya terbaca ribut taufan telah melanggar Republik Czech. Ribut yang sama telah melanda Poland dan menyebabkan 6 terkorban. German, UK, Belgium, Austria, Utara Peranchis dan Belanda semuanya dilanggar ribut yang sama. Angin ribut bergerak sederas 124 batu sejam. Kederasan ribut ini sama seperti pacutan permulaaan perlumbaan kereta di F1. Hasilnya 40 orang di Eropah telah terkorban.
Apa yang sebenarnya sedang berlaku? Jawabnya cukup senang. Kebodohan manusia yang menyebabkan semua ini terjadi. Untuk memahami semua ini biar saya cuba huraikan satu persatu. Sekurang-kurang-nya sebelum kita semua ditelan air atau dikambus olih tanah runtuh kita semua tahu kenapa ini terjadi. Sebelum nafas akhir kita terhenti mungkin kita bolih menyumpah seranah sesiapa sahaja yang kita anggap bertanggung jawab diatas kemusnahan dunia yang satu ini.
Saya telah banyak menulis tentang bahan bakar minyak. Saya telah juga banyak menulis tentang kegilaan manusia moden hari ini dengan kereta. Biar saya terangkan sekali lagi disini. Dalam satu hari, manusia dalam dunia ini sedang menggunakan 84 juta tong minyak. Dari 84 juta tong ini, 70 juta telah digunakan untuk membakar injin kereta. Asap yang keluar dari berjuta-juta injin kereta ini telah dan sedang memanaskan alam sekeliling. Dunia kita jadi panas. Asap dan udara panas ini telah membocorkan lapisan ozone yang menapis kemasukkan cahaya matahari.
Selain dari itu bahan bakar minyak juga sedang digunakan untuk menggerakkan pabrik, kilang dan loji-loji besar. Ini juga membawa pembahangan dan memanaskan dunia. Hakikatnya pada hari ini suhu dunia telah meningkat. Ini ditambah pula olih percikan cahaya matahari yang tidak lagi dilapik olih lapisan ozone.
Apakah perlu saya nyatakan sekali lagi bahwa tanda-tanda kemusnahan tamadun ini semakin jelas kelihatan disekeliling kita. Tanda awal telah ditunjukkan olih tanaman kita sendiri. Kini buah durian, rambutan, langsat dan duku telah berbunga dan berbuah tanpa mengikut musim. Jangan terlalu gembira bila dusun durian kita terus berbuah tidak berhenti-henti. Sebenarnya ini adalah petanda awal bahawa bencana alam akan sampai.
Mungkin ada yang akan berhujah mengatakan bahawa saya menulis dengan sikap yang simplistik dan tidak ilmiah atau tidak berlandaskan ilmu sains. Saya menolak pengunaan kata-kata ilmiah atau tanda-tanda saintifik. Saya menulis secara simplistik ini kerana telah bagitu lama orang-orang kampung, Mak Cik dan Pak Cik dari Felda tidak diberi pemahaman yang senang untuk difahami.
Akhbar dan media kita telah gagal kerana tidak mengkaitkan pengunaan kereta dengan apa yang berlaku hari ini. Mereka gagal melihat banjir itu adalah hasil dari perbuatan kita sendiri. Media kita menyorokkan fakta atau mereka bebal. Saya tidak dapat menjawabnya. Media kita menaburkan propaganda agar kita manusia d dunia ketiga menjadi obses dengan kereta. Dalam masa yang sama pemerintah yang juling mata dan otak ingin negara kita menjadi negara penjual kereta yang terulung. Hampeh!
Pembahangan dan pemanasan dunia hari ini akan terus berlaku. Hujan dan banjir di Johor, Melaka, Sabah, Pahang, Terangganu dan Kelantan yang sedang berlaku sekarang ini hanya rintik-rintik permulaan. Banjir-banjir yang telah dan sedang kita lihat ini bolehlah dianggap sebagai pesta mandi safar atau atau mengikut kata orang Negeri Sembilan “mandi bercomporo”. Untuk menyenyakkan tidur anggaplah bajir ini sebagai perkelahaan dihujung minggu.
Ini kerana satu draf laporan kajian Fourth Assessment Report of the Intergovernmental Panel on Climate Change yang sampai ke akhbar Observer London pada 21 Januari 2007 amat mengejutkan. Laporan ini hanya akan diumumkan pada 2 Februari yang akan datang, tetapi untuk menenangkan sanubari rakyat dunia berita ini telah dibocorkan lebih awal agar sesiapa yang ada penyakit jantung akan sempat pergi berjumpa dengan bomoh atau doktor terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya bila laporan ini diumumkan ada juga ubat pelali untuk ditelan.
Dari laporan ini telah ditemui bahawa pemanasan dan pembahangan dunia akan sampai lebih awal dan lebih ganas dari apa yang dijangkakan. Ribut taufan yang melanggar Eropah seperti minggu lalu atau banjir seperti di Batu Pahat dan Muar akan terus kerap berlaku. Pembahangan suhu dunia ini akan mencairkan Khutub Utara dan Khutub Selatan. Panas ini juga akan mengagalkan terjadinya salji ditempat-tempat yang biasanya bersalji. Salji hanya akan wujud dipuncak- puncak gunung.
Pembahangan ini juga akan menjadikan banyak kawasan-kawasan lembah-lembah yang subur kering kontang. Hasilnya, semakin banyak kawasan pertanian akan menjadi kawasan kering dan akhirnya menjadi padang pasir. Air laut pula akan bertambah asidik dan akan merosakkan daerah batu-batu karang yang menjadi perkampungan ikan dan bahan makanan laut.
Air laut akan bertambah naik. Banyak pulau-pulau kecil akan tenggelam. Sesiapa yang ada kekasih atau kaum keluarga di Maldives, Mauritius, Pulau Pangkor atau Pulau Perhentian sila ambil perhatian: air laut akan sampai dan akan mula menenggelami kawasan pesisiran dalam masa yang tidak lama lagi. Kawasan-kawasan di pesisiran pantai semuanya akan menerima musibah hasil dari pembahangan dunia.
Kajian selama 13 tahun ini telah menunjukkan 12 tahun dari 13 tahun ini adalah tahun-tahun yang paling panas semenjak manusia menyimpan rekod suhu alam.
Suhu air laut telah meningakat panas. Kini panas air laut telah sampai sedalam 3 kilometer.
Air laut telah naik 2mm dalam setahun.
Glasier, salji dan permafrost telah semakin berkurangan.
Siang dan malam yang sejuk juga semakin berkurangan di Eropah. Malam dan siang yang panas semakin bertambah. Serangan ombak panas semakin kerap berlaku.
Dari apa yang saya tulis ini ertinya dunia sedang dalam keadaan kacau bilau. Banyak penduduk dari kawasan-kawasan kering akan menghadapi kebuluran. Berjuta-juta akan mati kebuluran. Ramai warga akan berpindah dari kawasan kering untuk mencari sumber hidup yang baru. Sempadan-sempadan akan dikawal rapi dengan pelbagai jenis senjata. Kawasan-kawasan yang masih hijau dan memiliki sumber kehidupan akan didatangi olih manusia dari pelbagai pelusuk. Akhirnya kawasan ini juga akan menjadi pupus kerana tidak dapat menampung pertambahan penduduk.
Apakah berita yang saya tulis ini satu dongeng atau satu skrip filem yang sedang saya tulis? Tidak. Ini adalah hakikat yang akan terjadi kerana manusia selama ini telah dibaluti olih kebodohan. Ini adalah hasil manusia yang selama ini telah menyembah tuhan baru yang bernama – kereta. Pembakaran bahan bakar minyak selama 150 tahun ini telah menyebabkan dunia kita menjadi berbahang dan panas.
Sila bayangkan 70 juta tong minyak dibakar dalam sehari. Berapa tan agaknya carbon monoxide yang terhambur keluar? Berapa tan pula agaknya carbon yang dikeluarkan dari injin kereta? Kini bayangkan pula ribuan kereta-kereta baru sedang dibuat dalam kilang-kilang untuk penganut-penganut yang baru mula berkenalan dengan tuhan yang bernama kereta. Penyembah baru ini datang datang dari China dan India.
Jika semua ini bukan kerana kebodohan manusia, maka segala kesilapan ini pastilah berpunca dari semut, kerengga dan ungka?
END.


this is scary!
yes, scary indeed
wargh menakutkan..
Semua rela membaca tetapi tiada siapa ingin menukar gaya hidup..inilah manusia…sampai terlalu lambat baru nak menyesal…sekarang pun dah terlambat namun masih tiada apa yang dibuat..Mahathir badawi dan kit siang pun semua tiada agenda alam sekitar ketike berpolitik kerana masyarakat memang tak endah terhadap isu ini.
Selamat mandi bercomporo!
GREENPEACE HAMPSTEAD LONDON
Tahukah saudara sekalian 13 kali usaha persatuan kita nak membuka pejabat di Malaysia gagal kerana kerajaan tidak memberi persetujuan..Kini kami hanya sekadar mendapat maklumat dari ahli kita dari rumahnya…di Malaysia…