Hishamuddin Rais: Bila Bodoh Kahwin Kuasa
BILA BODOH KAHWIN KUASA
oleh Hishamuddin Rais
Kebodohan jika bersekongkol dengan kuasa maka hasilnya pastilah porak peranda. Dan inilah yang sedang kita saksikan berlaku dalam bidang pencarian ilmu dalam negara kita ini. Apabila Times Higher Education Supplements telah menjatuhkan kedudukan Universiti Malaya dari 89 ke 169, maka dengan tiba-tiba sahaja kedengaran suara siamang dan ungka-ungka bersahut-sahutan dari sarang-sarang akademik mereka.
Saya sebenarnya tidak menaruh apa-apa nilai terhadap pandangan yang dikeluarkan oleh akhbar The Times ini. Akhbar ini adalah sebahagian dari industri media yang dimiliki oleh Rupert Murdoch. Cita-cita media ini bukan tentang ilmu dan pembelajaran tetapi untuk menjualkan tempat ‚Äì status – agar universiti-universiti ini dapat dilanggan. Sama ada universiti itu dapat number satu atau paling corot saya tidak akan ambil pot. Dari segi keilmuan untuk saya angka-angka ini tidak memiliki apa-apa nilai. Silap-silap baca angka-angka ini sama seperti angka-angka pelacur dalam balang kaca di Haadyai.
Apa yang menarik hasil dari laporan angka-angka yang dikeluarkan oleh akhbar The Times ini ialah ulangan menghitam putihkan kemerosotan dunia akademia Universiti Malaya. Saya tidak hairan apabila akhbar luar negara membuat laporan maka ada para akademik tempatan tersentak dan bangun dari mimpi mereka. Ini kerana mereka ini masih memiliki mentaliti ‘lackey’. Mereka hanya dapat melihat apabila ada orang luar negara yang bersuara.
Sebenarnya, kita tidak perlu akhbar luar negara membuat nilai tentang dunia akademia kita. Hakikatnya telah nyata. Universiti dan lembaga-lembaga keilmuan dalam negara kita telah merosot. Kemerosotan ini bukan berlaku dalam masa satu dua tahun ini. Kemerosotan ini mengambil masa yang agak lama untuk menunjukkan hasilnya. Kemerosotan ini bukan pula terjadi dengan sendiri tetapi melalui satu proses yang memiliki nadi dan nafasnya sendiri.
Apa yang berlaku ke atas Universiti Malaya , universiti dan kolej-kolej yang lain dalam negara ini adalah hasil dari satu dasar yang telah dilembagakan oleh parti yang memerintah. Dasar inilah yang membawa kemerosotan tahap keilmuan dalam negara kita ini. Hasil dari dasar ini berlakulah proses pembonsaian fikrah generasi muda kaum pelajar dan kaum mahasiswa . Kebongsaian fikrah yang paling parah sedang dinikmati oleh mahasiswa dan pelajar Melayu.
Bonsainya fikrah para pelajar dalam negara kita ini juga bukan sesuatu perkara yang baru berlaku. Justeru, kita tidak memerlukan majalah Time atau Newsweek membuat laporan untuk menyedarkan tentang perkara ini. Buktinya terserlah saban hari. Kita tidak perlu bersuluh dan berjamong. Perkara kemerosotan pembelajaran ini telah menjadi pergi tersepak pulang terlanggar. Buka dan lihat media arus perdana, terutama media Melayu. Berkeping-keping kebodohan demi kebodohan terpampang, semuanya akan mengancam kepala sesiapa sahaja yang boleh berfikir. Tulisan-tulisan bodoh dalam media kita ini adalah sebahagian dari proses penyuburan kebodohan warga.
Proses membodohkan warga ini bermula dengan membodohkan anak-anak muda kaum pelajar dan mahasiswa-mahasiswa di universiti dan institusi pengajian tinggi. Proses ini memiliki persejarahannya sendiri. Proses ini berlaku secara teratur dan terancang. Proses pembodohan ini diperkuatkan pula dengan hukum kanun negara. Pembonsaian fikrah ini telah berjalan lebih dari tiga puluh tahun. Ertinya proses ini telah melintasi lebih dari satu generasi. Bayangkan berapa ramai agaknya anak-anak pelajar dan mahasiswa yang telah melalui proses pembodohan ini.
Kerajaan yang memerintah negara kita hari ini tidak memerlukan warga yang memiliki fikrah yang kritikal. Warga yang kritikal dan memiliki pandangan yang berbeza dari pandangan parti yang memerintah akan menyusahkan parti yang memerintah. Keadaan ini bertambah buruk lagi jika golongan yang memerintah ini pula tidak memiliki keilmuan dan tahap kelayakan pimpinan yang boleh dijadikan pedoman. Pemerintah yang bodoh akan merasa terancam apabila berhadapan dengan warga yang memiliki fikrah yang kritikal.
Justeru, apa yang dikehendaki dari universiti dan institusi pengajian tinggi dalam negara kita hari ini ialah untuk menjadi kilang yang mengeluarkan birokrat, pegawai, guru, ilmuwan dan gradun-graduan yang boleh melakukan kerja-kerja tanpa banyak soal jawab. Graduan-graduan yang dihasilkan dari kilang ini jika boleh akan menjadi birokrat yang setia untuk meneruskan dasar pembodohan ini.
Mahasiswa dan pelajar Melayu yang kritikal, cerdik, berilmu, berfikir dan memiliki kehormatan diri tidak mungkin akan menyokong dasar pembodohan yang sedang disebarkan oleh United Malay National Organisations ini. Mereka pasti tidak mahu diperbodoh-bodohkan. Anak-anak muda yang memiliki fikrah yang jalur akalnya luas dan dapat melintasi dunia Melayu sempit yang dipropagandakan oleh United Malay National Organisations pasti akan bersuara. Mereka yang berfikiran kritikal pasti akan peduli terhadap apa sahaja yang sedang terjadi kepada negara dan bangsanya.
Ini berbeza dengan birokrat, pegawai atau ilmuwan yang
bonsai akalnya. Graduan-graduan yang telah bonsai akal fikirannya bukan hanya akan menyambung dan meneruskan proses pembodohan ini malah mereka dengan bangganya akan menyokong, membodek dan menganggukkan kepala mereka tanpa banyak soal jawab. Kumpulan inilah yang sedang menyamar diri sebagai ahli-ahli akademik dan bersarang sambil mengendalikan perjalanan universiti-universiti awam dalam negara kita ini. Sila ambil perhatian – hampir kesemua dari jenis ini adalah orang Melayu.
Universiti sebagai gedung ilmu, mencanai wacana untuk mencari kebenaran telah lama menjadi arwah. Keadaan ini bertambah parah lagi apabila mereka yang bonsai ini bersekongkol pula dengan mereka yang berkuasa. Di sini ada titik pertemuan kepentingan. Untuk puak yang memerintah, mereka memerlukan sokongan dari warga yang tidak memiliki daya fikrah yang kritikal. Untuk para akademik dan ilmuwan yang menyamar sebagai bijak pandai, mereka memerlukan pemerintah yang memiliki kuasa. Tanpa sokongan kuasa maka topeng keilmuan mereka akan tercabut.
Bayangkan jika seorang profesor dari Universiti Malaya yang ijazah dan tesis kajiannya dianugerahkan berdasarkan dirinya sebagai ketua cawangan United Malay National Organisations dari Felda Taib Andak. Kertas akademik akhir yang ditulisnya hanya berjaya dibentangkan di Majlis Belia Sungai Rambai Melaka. Majlis Belia ini berjaya dilakukan kerana ketua belia ini adalah anak buah kepada profesor ini. Bayangkan, jika profesor ini dibuang kerja, pasti tidak ada sebuah pun universiti dalam dunia ini yang akan mengambil profesor ini untuk menjadi tenaga mengajar. Jauh sekali untuk diambil oleh badan-badan antarabangsa seperti PBB. Justeru, profesor jenis ini perlu memeluk kuasa seerat-erat mungkin.
Awas – profesor jenis ketua cawangan ini pun agak masin juga lidahnya kerana dia pernah menulis tesis Phdnya. Bagaimana pula dengan mereka yang berani memanggil diri mereka Doktor walhal tesis masternya pun masih dipersoalkan. Menyamar membawa ijazah-ijazah
sebagai orang-orang bijak ini pandai sedang berlaku di dalam universiti-universiti negara kita. Ini bukan lagi sesuatu yang pelik dan menakjubkan.
Lihatlah betapa bahayanya keadaan apabila bodoh berkahwin dengan kuasa. Persekongkolan bodoh dengan kuasa ini dari segi sejarahnya muncul dari Dasar Ekonomi Baru. Dasar yang di wujudkan oleh United Malay National Organisations ini telah mengetepikan pencarian ilmu yang neutral. United Malay National Organisations telah memansuhkan konsep kebijaksanaan tanpa mengira kaum. Hasilnya, jumlah angka lulus periksa selalu diganggu ubah untuk disesuaikan dengan dasar parti. Atau diubah untuk memperlihatkan menteri pelajaran yang sedang berkuasa sebagai menteri yang berjaya membuat kerja.
Apabila bodoh berkahwin dengan kuasa yang muncul ialah Malaysia yang semakin porak peranda. Sistem pembelajaran kita yang semakin merosot tahap dan mutunya ini hanyalah tanda-tanda manifestasi dari kesakitan bangsa. Seperti bisul dalam sistem badan yang semakin haprak, sesekali nanahnya meletus keluar. Hanyirnya terbau luas sehinggakan mendapat laporan dari akhbar luar negara. Hanya siamang dan ungka yang memakai jubah profesor sahaja tidak menyedari akan hakikat ini.
END


Sdr Hisham, boleh bagi alamat email sdr tak? Nak berinteraksi dan berintimasi…. ?