Hishamuddin Rais: Mari Kita Merdeka Ketawa
MARI KITA MERDEKA KETAWA
oleh Hishamuddin Rais
Apabila saya melihatkan gelagat Hishamuddin Hussein ketua pemuda PEKEMBAR, saya tersenyum lebar. Pekembar ini sebenarnya ialah nama Melayu untuk United Malay National Organisations. Satu ketika dahulu inilah nama parti ini. Tup tup nama ini hilang dari tetuang udara 1 hingga ke hari ini. Saya hanya ingin bertanya, ketika si Mamat ini menghunus keris puakanya itu apakah si Mamat ini tidak terfikir kenapa nama parti yang dipimpinnya ini dalam bahasa Mat Salleh; bahasa penjajah. Mengikut adat resam ini telah melanggar ajaran Ketuanan Melayu.
Kemudian bila saya terbaca polemik pemuda Pekembar ini dengan Ronnie Liu Tin Khiew dari Parti Tindakan Demokratik tentang hal merdeka sekali lagi saya tersenyum. Jangan hairan PTD ini bukan nama parti baru. Ini nama Democratic Action Party yang telah saya sunatkan agar parti ini dapat diuji ke Malaysianannya. Juga, biarlah parti ini membuktikan bahawa ianya bukan pro Mat Salleh atau pro Lee Kuan Yew. Kalau nama pun ada bunyi-bunyi Mat Salleh macam mana hendak menegakkan Malaysian Malaysia.
Untuk parti-parti lain seperti MIC atau MCA itu kita biarkan mereka dengan nama Mat Salleh mereka kerana mengikut surah yang saya dengar wakil dari parti-parti ini telah pergi berbincang; berbuih-buih mulut melawan British – di London pada tahun 1956 untuk menuntut oopps‚Ķ memohon merdeka.
Bila masuk cerita merdeka ini saya lagi tersenyum dan lagi ketawa. Sebenarnya kes merdeka tanah air kita ini telah menjadi sewel lagi menyewelkan. Ada beberapa pekara yang telah menyewelkan kes kemerdekaan Perseketuan Tanah Melayu ini. Jangan salah anggap, saya menulis ini bukan kerana saya tidak patriotik. Memang betul saya tidak pernah dan tidak akan mengibarkan bendera Malaysia. Ini bukan kerana saya tidak cintakan Malaysia tetapi saya tidak dapat menghayati simbol-simbol yang dipaksakan ke susuk saya.
Di Kamunting dahulu saya dan Tian Chua telah dipaksa berdiri menyanyikan lagu Terang Bulan opps; lagu Negara-ku ketika bedera ( bendera apa ha?) dinaikkan. Yang lawaknya ketika kami berdua tegak berdiri menyanyikan lagu Negara-ku ini si Cik Gu 2 yang menjaga saya itu tidak pula tegak berdiri. Rasa saya tidak ada sesiapa pun yang berakal waras akan tegak berdiri kecuali mereka yang telah menanda tangani surat akujanji di Universiti Sintok. Ini pun kerana cari makan dan tidak dapat menjadi pensyarah di tempat lain.
Arkian, saya wajib bersurah tentang kesewelan yang telah berlaku terhadap perayaan hari kemerdekaan ini. Ini bukan kerana saya ingin membela Parti Tindakan Demokratik ( walau pun saya tahu Ronnie itu budak baik ) tetapi saya ingin menunjukkan beberapa fakta-fakta ilmiah untuk kita sama-sama tersenyum simpul diminggu pasca pesta merdeka.
Mari kita lihat kes merdeka ini satu persatu secara jujur. Jujur yang saya minta ini adalah kejujuran yang lebih jujur dari kejujuran ahli-ahli parti Pakembar setelah mereka menerima duit saku dari waris saya Isa Samad.
Pertama – lagu Negara-ku itu bukan lagu buatan anak jati Perseketuan Tanah Melayu. Lagu ini diciplak dari Tanah Seberang. Nama asal lagu ini ialah Terang Bulan. Di zaman Konfrontasi 3 dulu lagu ini sering dimainkan di Radio Republik Indonesia sebagai meperlekehkan Tengku Abdul Rahman kerana Tengku dianggap sebagai talibarut Mat Salleh. Ini fakta yang bukan saya buat-buat. Jika tidak percaya sila tanya Megawati. Ayahanda Mega ini saorang Jawa bernama Sukarno yang amat Romeo. Si Sukarno ini sering menibai Tengku yang dianggapnya boneka British dalam pidato-pidatonya yang maha hebat.
Kepada ahli-ahli muda Pakembar yang telah mula belajar Maths dan Science dalam bahasa Mat Salleh sila cari bahan sejarah untuk membaca sejarah lagu Negara-ku ini. Kita tidak perlu ugut mengugut. Tidak perlu tuduh orang lain tidak patriotik. Kita tengok muka kita dahulu. Tanya diri kita sendiri kenapa nama parti aku ini United Malay National Organisations walhal aku ini dengan keris terhunus sedang menjaga ketuanan Melayu.
Kedua – lihat pula beberapa percubaan telah dilakukan untuk mengalih rentak lagu Negara-ku ini. Awal dahulu dari lagu Terang Bulan dialih rentak untuk menjadi lagu Negara-ku. Kemudian rentaknya beralih pula dizaman Mahathir Muhamad. Bila Mahathir pencen Negara-ku ini dialih sekali lagi. Pelik binti hairan kenapa wartawan Utusan Melayu tidak melaporkan ini sebagai satu detik sejarah. Untuk saya babak bersejarah ini wajib dimasukkan ke dalam Malaysian Guiness Book of Records atu pun World Guiness Book of Record. Malah ini mungkin kali pertama dalam dunia ini lagu kebangsaan sebuah negara berkali-kali berubah-ubah tanpa berlakunya revolusi.
Ketiga; di pekan Kuala Klawang Jelebu ada panggung wayang bernama Ruby Theater. Disinilah tempat saya menonton filem satu ketika yang lama dahulu. Saya masih ingat lagi pada tahun 1957/58 dan mungkin hingga ke awal 60’an ada dimainkan lagu Negara-ku ini dalam panggung wayang apabila sahaja filem selesai ditayangkan. Seingat saya tidak ramai orang yang berdiri apabila lagu ini dimainkan. Apakah orang kampung saya tidak hormat kepada Negara-ku atau mereka telah dicucuk olih jarum Sukarno. Ini saya tidak bagitu pasti.
Di zaman itu Negara-ku ini juga dimainkan diwaktu perhimpunan mingguan di sekolah. Kalau di sekolah Melayu pada pagi Ahad. Kalau di sekolah Inggeris di pagi Isnin. Seingat saya hanya dihari perhimpunan ini sahaja anak-anak murid tegak berdiri. Sebenarnya anak-anak sekolah ini tidak ada pilihan. Kalau mereka sudah besar menjadi Mat Rempit disunatkan sekali lagi pun mereka tidak akan tegak berdiri mendengarnya. Ini mungkin kerana lagu ini tidak dimainkan olih XPDC. Kita jangan silap faham dan menuduh mereka ini tidak cintakan Malaysia. Cintakan Malaysia bukan bermakna kita wajib tegak berdiri dengan lagu Terang Bulan oppps;. Negara-ku.
Keempat; tahun ini ada beberapa menteri membuat heboh kerana rakyat tidak mengibarkan bendera dibulan kemerdekaan. Tidak memasang bendera ini dianggap tidak patriotik; mengikut menteri ini. Ini betul-betul kes sewel. Mari kita berlaku jujur dan perhatikan betul-betul rupa bentuk bendera ini. Apa.. Apa; apa namanya; Jalur Gemilang. Nama ini pun baru diperkenalkan. Dulu pada tahun 1957 namanya Bedera Malaysia. Entah bila agaknya nama Jalur Gemilang ini tiba-tiba muncul. Mungkin kerana wujudnya Mykad. Bendera ini wajib memiliki nama resmi untuk mendaftar kalau tidak Mykad untuk bendera ini tidak akan dikeluarkan.
Ke lima; perhatikan baik-baik, hanya orang yang rabun sahaja yang tidak tahu bahawa bendera ini adalah tiruan totok dari bendera Star Spangled Banner. Si Mamat yang mereka bendera ini tidak memilki nilai pensejarahan dari segi warna dan tata susila warga-warga Perseketuan Tanah Melayu. Ini betul-betul kes mental. Mamat ini pakai balun sahaja; asalkan siap. Hasilnya bendera Malaysia yang wujud hari ini hanyalah bendera Amerika Syarikat tanpa bintang-bintang.
Saya sendiri jika ada rumah tidak akan memasang bendera ini di halaman rumah saya. Silap-silap hari bulan, jika bendera dipasang dihadapan rumah, ramai pula anak Bangla datang beratur meminta visa kerana mereka menyangkakan rumah saya telah menjadi kedutaan Amerika. Kesamaan rupa bendera Malaysia dengan bendera Amerika telah diakui sendiri olih presiden parti United Malay National Organisations. Arkian tidak perlulah menuduh saya tidak cintakan Malaysia.
Sayugia diingati setiap bendera yang menjadi simbol atau ikon sesebuah negara memiliki sejarah. Mazhab Shiah mengambil warna hitam kerana inilah warna bendera Nabi Muhamad ketika berperang. Lihat negara-negara Arab semuanya memilki bendera yang memiliki ciri-ciri Arab yang sama. Sesunguhnya, saya akan tersenyum dan tidak hairan apabila mengetahui bagaimana semakin ramai warga yang tidak mahu bendera ini berkibar dihadapan rumah mereka.
Ke-enam – bila dibuka cerita bendera dan sejarah perjuangan negara kita, maka saya rasa lebih baik dikaji kembali warna dan corak bendera yang dikibarkan olih Tun Fatimah semasa melawan Portugis. Atau bendera-bendera yang dikibarkan olih Datuk Bahaman, Mat Kilau atau Datok Maharaja Lela semasa pahlawan-pahlawan ini mengangkat senjata melawan British. Kalau saya cadangakan bendera Rakyat Malaya Anti Jepun atau bendera Rakyat Malaya Anti Tentera British, nanti saya akan dituduh pro komunis, tidak sedar diri, tidak berterima kaseh, tidak insaf , tidak bartaubat atau tidak patriotik. Walhal Mamat Mamat dari Parti Komunis inilah yang berjuangan angkat senjata melawan penjajah.
Untuk menyelesaikan kekalutan dalam hal bendera ini saya rasa kita wajib mengikut arus pensejarahan. Pada hemat saya lebih baik kita ambil warna dan corak yang ada pertalian dengan sejarah perjuangan yang telah berjaya membawa kita ke mercu kemerdekaan. Dengan ini saya memiliki satu cadangan. Baru-baru ini saya telah membaca bahawa Tan Cheng Lock, Sanbanthan dan Tengku telah bertegang leher dan berbuih-buih mulut bertengar dengan British pada tahun 1956 kerana menuntut; maaf memohon merdeka. Ketika berada di London pastilah mereka merasa perubahan udara. Selalunya apabila udara berubah kita akan diserang selsema. Tentulah jaguh-jaguh kita ini ada persiapan membawa sapu tangan kalau-kalau diserang selsema. Apatah lagi pada tahun 1956 dahulu kabus London lebih memualkan dari jerebu kita.
Arkian kenapa kita tidak mengambil warna dan corak sapu-sapu tangan jaguh-jaguh ini sebagai lambang kemerdekaan kita. Sapu-sapu tangan ini adalah senjata yang telah menyelamatkan para pejuang ini dari diserang olih selsema yang mungkin virusnya sengaja ditabur olih MI6 polis rashia British. Warna dan corak sapu tangan mereka ini kita jadikan ikon bendera negara kita. Ini lebih tepat, lebih patriotik dan lebih tinggi nilai sejarahnya.
Shahdan rakyat saentero negeri pun telah diberitahu bahawa mereka bertiga inilah yang telah berbuih-buih mulut berbincang hangat di London untuk menjadikan kita merdeka. Kalau mereka tidak memiliki sapu tangan, rasa saya corak dan warna towel mandi mereka pun bolih diambil kira sebagai unsur-unsur yang memiliki nilai sejarah. Kecuali kalau mereka memakai towel Good Morning. Ini agak menyulitkan.
Hatta untuk menyempurnakan minggu pasca pesta merdeka ini dan untuk terus kita sama-sama tersenyum gembira sebagai warga merdeka, saya akan mencatitkan satu tulisan disini. Tulisan ini dalam tulisan jawi yang saya pungut dari Kitab Permulaan Mengarang. Kitab jawi ini secara tidak sengaja saya temui dalam bentuk asalnya. Kitab ini ditulis olih Ibrahim Haji Abdul Salam dan dicetak olih Muhamadiat Press, Parit Jamil, Muar Johor.
Kitab jawi ini dicetak pada tahun 1939. Ini bererti United Malay National Organisations, MIC, MCA, Democratic Action Party masih belum wujud lagi. Hanya Parti Komunis Malaya dan parti Kesatuan Melayu Malaya sahaja yang telah wujud berjuang untuk memerdekkan Perseketuan Tanah Melayu dari penjajah British. Sama-samalah kita melihat kembali rupa bentuk masyarakt kita sebelum kita bertegang leher dan bersilat lidah tentang merdeka.
Hendaknya dapatlah tulisan dari kitab ini membawa ilmu atau kita dapat tersenyum darinya ??
Orang Melayu Orang China dan Orang Keling
– Bahawa diantara bangsa-bangsa yang banyak mendiami di Semenanjung Tanah Melayu adalah ketiga-tiga bangsa yang tersebut itu yang terlebih banyak bilangannya dan tersangat berbeza hal keadaannya diantara satu dengan lainnya.
Bermula adalah orang-orang Melayu itu yaitu sebenar anak bumi Semenanjung ini maka adalah hal mereka itu dengan sederhana dan tiada memberatkan mencari kekayaan dan ketinggian atau kemuliaan maka kebanyakan mereka itu berkebun dan bercucuk tanam dan memakan gaji dengan kerajaan dan jarang sekali berniaga. Ada pun agama mereka itu Islam tetapi mereka itu selalu mengikut teladan bangsa-bangsa lain dengan tiada siasat pada kebangsaannya.
Shahdan orang-oarang China itu datangnya daripada bahagian timur benua China maka mereka itu sangat berlainan dengan bangsa-bangsa lain kerana adatnya suka berlenging (tiada berbaju) dan makan ditengah orang ramai mencangkung dan menggunakan sepit akan tetapi mereka itu suatu bangsa yang cerdik dan rajin dalam serba serbi pekerjaan baik berniaga atau berkebun atau pun memakan gaji maka kebanyakan daripada orang-orang kaya yang terbilang di Tanah Melayu ini daripada bangsa-bangsa China dan yang melarat miskin pun daripada bangsa itu juga adanya.
Ada pun orang-orang Keling itu datangnya dari India dan Ceylon maka kedatangan mereka itu semata-mata kerana hendak makan gaji tetapi ada juga yang berniaga dan kebanyakan daripada peguam-peguam (lawyer) di Tanah Melayu daripada bangsa ini. Maka banyak daripada mereka itu yang menjadi kuli-kuli kerja raya dan kuli-kuli bandaran dan penoreh-penoreh getah tetapi banyak juga yang menjawat pekerjaan pegawai-pegawai kerajaan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Shahdan tiada memilih mereka itu pekerjaan asalkan ada gajinya dan mereka itu sangat ingat kepada kaum-kaum yang tertinggal di negerinya maka pada tiap-tiap kali dapat wang dikirimkan ke negerinya kepada ibu bapanya atau saudara-saudara dagingnya…;
Merdeka tahun 2005 ini untuk saya amat meriah kerana untuk pertama kalinya wacana merdeka itu terbuka dengan luasnya. Hegemoni Pekembar yang menganggap mereka sahaja yang berjuang untuk merdeka telah retak. Nama-nama nasionalis dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang dahulunya tidak diketahui umum kini tersebar luas.
Saya rasa tahun hadapan pesta menyambut medeka akan lebih hebat. Ketua pemuda parti Pekembar akan menghunus keris puakanya sambil berlengging dengan seluar sampaknya. Dia akan melaung dan menjerit-jerit meminta 30% saham Bumiputera kerana pemimpin parti mereka yang telah berjuang bersenjatakan sapu tangan semasa bertengar dengan British di London pada tahun 1956 dahulu. Demikianlah seadanya.
ENDS

