Amin Iskandar: Propaganda
Berita Harian alat propaganda Barisan Nasional untuk Pilihanraya Sarawak?
oleh Amin Iskandar di Gwangju
Apabila saya membaca akhbar Berita Harian hari ini (11 Mei 2006), saya terbaca sebuah berita yang bertajuk “Calon penganggur mahu lawan Ketua Menteri” tulisan Misiah Taib.
Dalam laporannya beliau memulakan dengan,
“DEMOKRASI berparlimen memberi ruang kepada sesiapa saja untuk bertanding, hatta seorang petani, peniaga atau penganggur sekali pun.
Tetapi kalau setakat untuk menyekat seseorang daripada menang tanpa bertanding, apatah lagi calon tidak diketahui kewibawaannya, ia seolah-olah mempermainkan kebebasan demokrasi itu sendiri.
Oleh itu, apabila seseorang calon yang agak asing bagi penduduk tempatan, tiba-tiba muncul dan menawarkan diri bertanding mencabar seorang Ketua Menteri yang mempunyai rekod 25 tahun, pasti timbul 1,001 persoalan.
Maka mulalah kedengaran bisik-bisik, saling bertanya siapa sebenarnya calon berkenaan, apakah hasrat sebenar di sebalik kemunculannya dan apakah pula agenda perjuangannya.”
Tidak tahulah mengapa beliau begitu bersungguh-sungguh mengutuk dan memperlekehkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mencabar Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud di DUN Balingian. Tetapi semakin jelas tuduhan parti pembangkang yang Berita Harian, Utusan Malaysia, RTM dan kebanyakkan media arus perdana adalah alat propaganda politik UMNO dan Barisan Nasional.
Kenyataan beliau dalam perenggan yang pertama menunjukkan kedangkalan beliau dalam memahami prinsip-prinsip demokrasi. Mengapakah beliau mempersoalkan tentang calon dari PKR, Ibrahim Bayau, 40 yang akan melawan Ketua Menteri itu? Sedangkan beliau sendiri menyatakan bahawa Demokrasi Berparlimen membenarkan petani, peniaga atau pengganggur untuk turut bertanding dalam pilihanraya?
Tindakan beliau mencerminkan beliau tidak lebih daripada menjadi lidah kepada Barisan Nasional untuk Pilihanraya Sarawak 2006 ini. Ataupun lebih tepat lagi beliau adalah penulis upahan kepada Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. Dengan penuh emosi dan partisan beliau telah memperlekehkan calon daripada PKR. Hairan juga beli membaca berita yang ditulis oleh beliau. Entah apa yang ditakutkan sangat oleh Ketua Menteri Sarawak itu? Sehinggakan ada calon hendak mencabarnya dalam pilihanraya pun dikatakan tidak ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat.
BIla pembangkang menggunakan demonstrasi jalanraya, marah pula. Dikatakan mengganggu keamanan dan cuba untuk mencetuskan huru-hara. Sekarang apabila pembangkang hendak bertanding dalam pilihanraya pun, diperlekehkan. Apakah mereka ini tidak faham bahawa pilihanraya adalah gelanggang untuk mana-mana individu, yang mewakili mana-mana parti politik atapun tidak mewakili mana-mana parti politik untuk bertanding dan merebut kerusi yang dipertandingkan?
Sedangkan dalam Akta Pilihanraya dalam bab kelayakan calon mengatakan bahawa,
“KELAYAKAN CALON Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:
• warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
• berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan
• tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.
Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:
• telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
• didapati seorang bankrap; atau
‚Ä¢ memegang jawatan berkepentingan ‘office of profit’; atau
• gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
• telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
‚Ä¢ telah memperoleh kewarganegaraan asing.¬?¬±
Mengapa penulis berikut tak menghormati Akta Pilihanraya yang telah diamalkan selama ini? Ini bermakna penulis berikut juga memperlekehkan undang-undang yang dengan jelas menyatakan bahawa Ibrahim Bayau tidak kira ia seorang pengganggur ataupun peniaga layak untuk melawan Ketua Menteri Sarawak dalam pilihanraya ini.
Selain daripada itu, dalam perenggan yang berikutnya beliau menyatakan,
Ta pernah peden jawai a yen (tak pernah melihat wajah pun sebelum ini),” kedengaran suara seorang penduduk dalam usia 60-an membisik kepada rakan di sebelahnya.
Penulis yang berdiri di sebelah terdengar bisikan itu dan terus bertanya bukan orang sini ke?? lantas dijawab lelaki terbabit, entahlah… memang tak pernah nampak mukanya sebelum ini.
Di sebalik kehadirannya juga, calon terbabit secara terang-terang mengaku di depan media, dia cuma penganggur. Justeru timbul satu lagi persoalan “apakah penganggur’ boleh dijadikan pertaruhan untuk dipilih wakil rakyat?”
Pelik tapi benar. Itulah senario yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, pada hari penamaan calon pilihan raya negeri kesembilan, kelmarin.
Mungkin Ibrahim Bayau, 40, yang menjadi pencabar tunggal Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku penyandang kerusi berkenaan, sekadar bergurau apabila memberitahu wartawan dia seorang penganggur, tetapi air mukanya serius ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mukah.
Seorang daripada lima penyokongnya kemudian memberitahu media bahawa Ibrahim sebenarnya ialah bekas kerani bank, yang kini menjadi usahawan kecil.
Ibu bapanya dipercayai berasal dari Mukah tetapi dia dilahir dan dibesarkan di Kuching serta menetap di Kampung Samariang Pinggir.
Hakikatnya apabila seseorang itu muncul atau balik kampung?secara tiba-tiba untuk menjadi wakil rakyat, ia bukan perkara main-main kerana amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul cukup berat.
Semua orang ingin tahu latar belakang dan pekerjaannya, kerana ia juga akan dijadikan kayu ukur menilai kewibawaan dan kemampuan seseorang itu untuk dipilih wakil rakyat.
Sama ada Ibrahim orang luar, bekas kerani bank, sesekali muncul selagi dia tidak melanggar undang-undang pilihanraya, bukanlah urusan penulis berikut untuk campur tangan sama ada beliau layak atau tidak untuk mewakili DUN Balingian. Biarlah rakyat di kawasan tersebut yang menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan Taib Mahmud ataupun mereka mahu Ibrahim mewakili mereka.
Namun yang seharusnya dipersoalkan oleh penulis berikut sebagai rakyat Malaysia yang menghormati prinsip Demokrasi Berparlimen ialah apakah pihak pembangkang yang bertanding dalam pilihanraya ini di atas padang yang sama rata? Selain daripada itu, beliau juga boleh mempersoalkan tentang adakah pihak pembangkang diberikan hak untuk mempunyai media cetak dan media elektronik mereka sendiri seperti apa yang dipunyai oleh Barisan Nasional?
Jika padang tak sama rata, kita letakkanlah sesiapa sahaja untuk bertanding melawan Ketua Menteri Sarawak, walaupun Tun Dr. Mahathir Mohammad, sudah tentu beliau juga tidak akan menang. Taib Mahmud juga tidak perlu risau beliau mempunyai pencabar kerana seluruh jentera kerajaan Malaysia dan media ada dibelakang beliau. Ibrahim bertanding dalam keadaan tidak wujudnya kebebasan media di Malaysia. Jadi sebenarnya bukanlah satu lawak bagi Ibrahim untuk melawan Ketua Menteri Sarawak, yang lebih melawakkan ialah Pilihanraya di Malaysia itu sendiri.
Jadi tak hairanlah semenjak selepas Merdeka 1957, Malaysia masih lagi diperintah oleh parti-parti politik yang sama. Kita jangan terlupa bahawa satu ketika dahulu kita juga mempunyai pilihanraya majlis tempatan (Local Council Election) seperti kebanyakkan negara-negara Demokrasi yang lain. Tetapi oleh kerana pilihanraya majlis tempatan telah memihak kepada pihak pembangkang, pada 1 Mac 1965, ia telah diharamkan dengan alasan untuk menghadapi Konfrontasi Indonesia. Maka sekarang wakil Majlis Tempatan yang dulunya dipilih oleh rakyat telah ditukar kepada sistem lantikan. Mengapa Misiah taib tak pernah mempersoalkan perkara ini?
Tidak mustahil juga satu hari nanti jika Pilihanraya Parlimen dan DUN juga akan diharamkan jika ia memihak kepada parti pembangkang. Pilihanraya yang diadakan di Malaysialah yang sebenarnya kelihatan seperti “melepaskan batuk ditangga” kerana hanya diadakan sebagai cukup syarat untuk menyatakan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia adalah negara Demokrasi. Apakah Misiah Taib dari Berita Harian pernah terfikirkan tentang perkara ini?
END.
Amin Iskandar merupakan seorang penulis bebas yang pernah menulis di Malaysiakini, Berita Keadilan, Terbitan Suria Janib dan beberapa laman web alternatif.
Pernah mengikuti beberapa siri pemantauan pilihanraya antarabangsa bersama Asian Network for Free and Fair Election (ANFREL) sebagai Pemantau Jangka Panjang dan pemantau Jangka pendek di Pakistan, Afghanistan, Thailand dan Sri Lanka.
Beliau boleh dihubungi di sini.


ya..btol2.