Hishamuddin Rais: Lepas Minyak, Air

LEPAS MINYAK, AIR
oleh Hishamuddin Rais
Ketika saya menulis ini satu banjir besar sedang melanda kawasan utara India. Lebih dari satu juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal. Kawasan-kawasan yang dahulunya kering kini ditenggelami air. Dalam masa yang sama banjir di kawasan selatan Cina kelihatan surut. Kini beberapa kawasan negara Cina sedang menghadapi kemarau yang berpanjangan. Dari dua berita ini kelihatan bahawa manusia sedang menghadapi masalah kekurangan air dan menghadapi masalah berhadapan dengan limpahan air yang banyak.
Sebenarnya dua berita ini wajib dibaca untuk menyedarkan diri kita bahawa cuaca dunia hari ini semakin berubah. Kedatangan banjir yang tidak dijemput dan tidak dirancang ini telah membawa malapetaka kalau dilihat dari kerosakan yang dibawanya. Untuk saya, wilayah-wilayah ini patut gembira kerana kawasan-kawasan mereka masih lagi dilawati air. Walau pun air datang dengan sifat yang ganas. Ini kerana semakin banyak wilayah dalam dunia ini yang telah bertahun-tahun gagal melihat rintik hujan turun.
Baru-baru ini Pertubuhan Bangsa Bersatu telah mengeluarkan data yang agak memeranjatkan. Satu dari lima manusia dalam dunia ini tidak menikmati air seperti apa yang kita rasai dalam negara ini. Ini bermakna lebih dari 1 bilion umat manusia hidup tanpa sokongan kehidupan yang paling asas: air. Laporan dari PBB ini juga telah menunjukkan bahawa pada tahun 2025 hampir 2.5 bilion penduduk dunia ini akan menghadapi krisis kekurangan air.
Banyak negara-negara dan wilayah di selatan Sahara telah berbelas-belas tahun tidak didatangi oleh hujan. Bukina Faso, Ethiopia, Somalia, Benin atau Togo adalah contoh di mana kekurangan air sedang menjana krisis kemanusiaan yang paling parah. Afghanistan diberitakan telah memasuki tahun ke 9 di mana hujan telah gagal turun.
Kekurangan air ini wujud dalam beberapa tahap. Pada tahap yang agak selesa kekurangan ini hanya bermakna air tidak mencukupi untuk membasuh dan membersihkan badan, tetapi masih ada untuk diminum walau pun kebersihannya boleh dipersoalkan. Tahap ini sedang dialami oleh hampir 2.5 bilion umat manusia. Tahap yang lebih parah ialah apabila warga tidak ada air untuk diminum. Panas terik bumi kering kontang dan akhirnya air yang di dalam perut bumi pun menjadi kering. Ini sedang dialami oleh hampir 1.1 bilion manusia.
Dalam masa yang sama kekurangan air dalam apa sahaja tahap akan membawa pelbagai jenis penyakit yang bersangkutan dengan keupayaan membersihkan tubuh badan. Keadaan ini menjadi paling parah apabila air kurang dan mengakibatkan bercucuk tanam untuk makanan gagal. Tanpa air tidak mungkin benih apa pun akan tumbuh. Bumi yang kering tandus akan membawa kebuluran. Kebuluran adalah pembunuh yang tidak berkuman. Ini berlaku di Ethiopia pada tahun 1986 dahulu dan kini sedang berlaku di beberapa kawasan di Afrika.
Air adalah sumber kehidupan yang paling penting. Tiga suku dari tubuh badan manusia adalah air. Evolusi manusia dan hidupan awal berpunca dari air. Malah sebelum kita lahir kita hidup di air dalam kandungan ibu kita. Punca dan sumber asli bahan mentah air inilah yang kian merosot. Air suci bersih yang belum tercemar hanya tinggal 3 peratus sahaja lagi dalam dunia ini. Air ini wujud terkumpul dengan banyak di kutub utara dan selatan dan di bawah-bawah perut bumi.
Sungai-sungai besar dalam dunia; Hwang Ho, Ganges, Indus, Menam Chao Praya, Amazon, Missisipi, Danube, Muse, Nile dan sebagainya telah mula mengalami pencemaran. Tiga tahun dahulu ribuan tan ikan telah mati terdampar di hulu Sungai Danube kerana pencemaran. Indus dan Ganges telah menjadi saluran longkang besar di India dan Pakistan. Kepesatan ekonomi dua negara ini akan selari dengan tahap pencemaran dua sungai ini. Beberapa bulan lalu dilaporkan bagaimana bertan-tan ikan air tawar mati terdampar di muara Yangtze di mana terdiri dengan gahnya kota Shanghai.
Bukan satu berita yang memeranjatkan apabila kita terbaca bahawa sungai Amazon telah mula mengering. Beberapa sungai-sungai kecil yang membawa air ke dalam perut Amazon telah menjadi jalan berpasir. Malah di beberapa daerah di kawasan Amazon telah terputus kerana perahu telah tidak dapat lagi bergerak kerana air bertambah cetek atau yang wujud hanya lumpur.
Kita tidak perlu pergi jauh hingga ke Amerika Latin untuk melihat kekotoran dan kekeringan yang sedang berlaku. Lihat sahaja Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Kedua-dua sungai ini telah kita sama-sama jadikan longkang besar untuk menerima pelbagai macam sampah sarap dalam keselesaan hidup moden kita.
Untuk warga di luar Kuala Lumpur perhatikan sungai atau anak-anak sungai di belakang rumah atau di persekitaran kampung masing-masing. Perhatikan dengan teliti perbezaan arus sungai yang sama pada hari ini berbanding dengan sepuluh atau dua puluh tahun lalu. Hanya dengan melintasi jambatan Sungai Perak di Kuala Kangsar dan jambatan Sungai Pahang di Temerloh saya telah dapat melihat betapa susutnya air sungai-sungai ini.
Melalui data dan laporan PBB ini, saya meramalkan bahawa dalam masa yang tidak berapa lama dunia kita ini akan berkecamuk dalam suasana perang. Jika kita perhatikan dengan teliti pentas perang yang sedang terbuka di Iraq pada ketika ini boleh di hujah sebagai bertujuan untuk menjarah telaga-telaga minyak. Pada ketika susutnya pengaliran minyak ke dalam pasaran dunia adalah logik untuk kuasa-kuasa imperialis Anglo-Amerika mengepung dan membolot di mana sahaja kawasan-kawasan yang berpotensi atau memiliki minyak mentah dalam perut buminya
Tetapi apabila Israel menyerang Lubnan tujuannya bukan untuk menjarah telaga minyak. Kuasa Zionis Israel memulakan perang untuk mengepung dan memiliki kawasan-kawasan lembah aliran Sungai Litani di selatan Lubnan. Perang yang telah dilancarkan oleh Israel baru-baru ini adalah satu bentuk percubaan awal untuk menjarah punca air di lembah Levant.
Zionis Israel telah lama sedar bahawa tanpa air yang lumayan gaya hidup konsumerisme moden di kota-kota Israel tidak mungkin dapat dicapai. Bukit Golan yang ditawan oleh Israel pada tahun 1967 dahulu adalah salah satu dari punca air ke Israel. Pada ketika ini Laut Mati yang airnya ditapis untuk dijadikan air tawar telah mula susut. Tidak dapat tidak Israel wajib menawan punca air dari Sungai Litani dan Lembah Levant untuk terus hidup.
Perebutan punca air juga sedang berlaku di antara Turki, Syria dan Iraq. Dari pergunungan kawasan sempadan tiga negara ini munculnya Sungai Euphrates dan Tigris atau Dajlah. Di tebing Dajlah terdirinya kota Baghdad, kota kuno yang membuka tamadun dunia. Kesusutan Sungai Dajlah dan Euphrates akan mengakibatkan keriangannya kawasan lembah pertanian yang subur di Selatan Iraq.
Pada ketika ini Turki dan Syria telah membuat beberapa buah empangan di hulu sungai-sungai ini. Empangan ini pasti akan mengurangkan aliran air ke Iraq. Perebutan air ini pasti akan menjadi satu punca perang dalam masa yang tidak lama.
Keadaan yang sama juga sedang berlaku di antara Ethiopia , Sudan dan Mesir. Sungai Nile yang berpunca di Ethiopia melintasi Sudan dan keluar ke laut Tengah di Mesir. Sungai ini adalah tulang belakang ekonomi Mesir. Tanpa Sungai Nile tidak wujud tamadun Arab Mesir. Krisis akan timbul dalam bila-bila masa sahaja. Krisis ini adalah krisis perebutan agihan air Nile yang akan melibatkan tiga negara ini.
India dan Cina penah berperang untuk merebut kawasan pergunungan di Himalaya yang dipanggil Aksai Chin pada tahun 1962. Hingga ke hari ini kes kawasan Aksai Chin yang dipertikaikan ini masih belum selesai. Kawasan pergunungan ini adalah punca-punca air kepada Hwang Ho, Yang Tze Kiang dan Ganges.
Kita wajib menerima hakikat bahawa air dalam dunia ini adalah terhad. Sama seperti minyak, air juga akan susut. Air yang kita lihat ini sebenarnya wajib kita kongsi bukan sahaja sesama manusia tetapi bersama dengan tumbuhan, serangga, hidupan liar, unggas dan segala bentuk hidupan.
Memang kalau kita perhatikan di Port Dickson, di Klang atau di Terengganu kita akan nampak air. Ini air laut yang masin. Ianya tidak dapat menampung hidupan di darat. Dalam dunia yang maha luas ini air tawar hanya 2.5 %. Dari jumlah ini tiga suku darinya wujud di pergunungan atau masih membeku sebagai ais.
Krisis air ini muncul selari dengan krisis minyak. Gaya hidup konsumer yang dibawa oleh modeniti ini telah memangkinkan kelahiran dua krisis ini. Pertambahan penduduk semakin meninggikan permintaan air dan meninggikan permintaan minyak. Gaya hidup moden juga telah membazirkan air dan membazirkan bahan bakar minyak.. Manusia moden wajib berfikir kerana dalam masa yang tidak berapa lama dua krisis ini; air dan minyak – akan bertembung seperti di Lebanon baru-baru ini. Ikan di pinggan sudu di tangan tanyalah hati apa yang diingini.
END.


catastrophic……and we’ll always live in fear,and i’m tired,kalau fikir sangat memang takut,insecured,but then tihis is life and world,tak akan aman mana….
dunia sudah tidak selamat untuk didiami. tetapi hidup mesti diteruskan.
emm..air kat jeram toi pun dh lame keruh..huhuhu..