Hishamuddin Rais: Melayu & India Muslim
MELAYU DAN INDIA MUSLIM
oleh Hishamuddin Rais
Minggu ini saya tersenyum lebar. Saya gembira kerana berbangkitnya persoalan tentang merdeka yang saya rasa satu perkara yang wajib terus kita dibincangkan bersama. Kemudian timbul pula cerita siapakah dia Melayu. Persoalan ini ditimbulkan oleh satu kumpulan India Muslim yang menuntut agar ahli-ahli kumpulan parti mereka diterima sebagai Melayu. Cerita-cerita tentang kumpulan atau parti politik ini mahu menjadi Melayu bukan satu yang baru. Saya sendiri telah banyak mendengar lawak-lawak tentang kumpulan ini.
Bila saya terbaca berita terkini tentang parti India Muslim ini saya merasa sedih dan dalam masa saya juga ketawa. Mereka ini satu parti politik kerana itulah saya merasa lawak dan juga merasa sedih. Saya anggap satu parti politik idealismenya pastilah tinggi menjulang. Tetapi lain pula ceritanya dengan parti politik ini.
Sebenarnya pada hemat saya – bangsa dan agama lahir dari konstruk sosial. Malah dua perkara ini wujud hasil dari budaya alam persekitaran. Budaya ini pula dipangkin oleh politik dan ekonomi. Pengaruh ekonomilah yang memainkan asas yang paling penting dalam konstruk sosial ini.
Melayu, Cina, India, Orang Asal atau apa sahaja bangsanya sebenarnya tidak memiliki apa-apa makna. Ianya tidak memiliki asas-asas ilmiah dari segi biologi atau pun DNA. Kesedaran – aku ini bangsa apa – wujud dalam konstruk sosial. Dalam kes Malaysia konstruk sosial ini cukup jelas. Jika kita melihat perlembagaan Persekutuan Malaysia maka kita akan dapati bagaimana Melayu itu diwujudkan melalui sosial konstruk. Melayu dalam perlembagaan ditakrifkan sebagai: yang beragama Islam, yang menggunakan bahasa Melayu dan mempraktikkan adat istiadat budaya Melayu. Amat terang dan dapat dilihat sosial konstruk ini.
Justeru, dalam kes permintaan India Muslim ini rasa saya mereka telah patut dianggap Melayu. Mereka beragama Islam, mereka bertutur dalam bahasa Melayu dan mereka juga mengamalkan adat istiadat budaya Melayu. Bila saya katakan masyarakat India Muslim ini mengamalkan budaya Melayu mungkin ada yang tidak bersetuju dan mungkin ada yang menentang. Tetapi hakikatnya budaya Melayu yang wujud hari ini banyak mengambil dan meniru budaya masyarakat India.
Wajib kita sama-sama sedari bahawa agama Islam hanya sampai ke Semenanjung ini pada tahun 1403. Sebelum ini agama Hindu dan Buddha telah lebih awal dianuti oleh penduduk di kawasan ini. Justeru budaya dari India telah lama wujud dalam kerangka budaya Melayu. Sistem feudal Melayu yang sedia wujud hari ini semuanya acuan dari budaya India. Konsep raja, singgahsana, istana, kastria, sasterawan, sembahyang, tuhan dan gelaran Datuk dan Tan Sri itu pun datang dari India.
Apa yang lawak terhadap permintaan India Muslim Nak Jadi Melayu ini ialah kumpulan India Muslim ini hendak mendapatkan pula status Bumiputera. Mereka juga mahu wakil mereka dilantik menjadi senator. Mereka juga menuntut agar parti politik yang mereka anuti akan diterima sebagai salah satu dari komponen parti yang memerintah.
Mula-mula saya rasakan permintaan untuk jadi orang Melayu kerana mereka ingin bergabung dan berjuang untuk kepentingan warga Malayusia. Saya tersilap. Dengan tiga permintaan tambahan ini jelas membuktikan bahawa konsep bangsa Melayu yang mereka agung-agungkan dan perjuangan itu sebenarnya hanyalah helah untuk mendapatkan pulangan ekonomi. Saya sedih lagi kasihan melihat kumpulan ini kerana mereka cuba mencari jalan pintas (short cut) dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi oleh komuniti India Muslim ini.
Sebenarnya bukan masyarakat India Muslim sahaja yang berhadapan dengan banyak masalah. Manusia yang memiliki status Bumiputera dan Melayu pun memiliki jutaan masaalah yang sama. Jadi Melayu atau jadi Bumiputera ini bukan jalan penyelesaian. Kalau menjadi senator – yang senang dan kaya raya hanyalah si Mamat yang dilantik itu bukan semua India Muslim. Menjadi Melayu atau Bumiputera saya rasa tidak akan menyelesaikan apa-apa masaalah induk yang dihadapi oleh India Muslim ini.
Di sinilah silapnya kerangka budaya politik tanah air kita yang memisah-misahkan warganya melalui kumpulan bangsa, kumpulan agama dan kumpulan budaya. Kumpulan India Muslim ini juga telah gagal untuk berfikir di luar kerangka budaya politik ini. Mereka berharap jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kumpulan mereka hanyalah menjadikan diri mereka Melayu dan Bumiputera.
Memang betul dari kaca mata yang kasar mungkin ada yang berpendapat jika India Muslim menjadi Melayu maka mereka akan mendapat saham, lesen AP, kontrak buat lebuh raya, lesen kedai, lesen balak dan pelbagai bentuk peluang ekonomi. Sebenarnya ini hanyalah satu ilusi sahaja. Bukan semua Melayu dan Bumiputera mendapat perkara-perkara ini. Malah untuk mendapatkan semua peluang ekonomi ini tidak semestinya menjadi Melayu atau Bumiputera. Jika tidak percaya sila tanya Vincent Tan dan Lim Goh Tong atau Ananda Krishnan. Mereka ini semua tidak bersunat. Sebenarnya masih ada hukum dan syarat-syarat lain yang diperlukan dan syarat Melayu atau Bumiputera itu tidak penting.
Saya ingin menyemak sejarah ke tahun-tahun sebelum merdeka untuk melihat apa yang sebenarnya terjadi dalam usaha melahirkan apa yang hari ini kita kenali sebagai Malaysia. Pada tahun 1947 satu draf Perlembagaan Rakyat telah ditaja oleh Putera-Amcja. Dua badan ini adalah pergabungan kumpulan-kumpulan, parti-parti politik dari semua bangsa yang sedang menentang penjajah British. Perlembagaan ini adalah cita-cita mereka untuk mendirikan Tanah Melayu yang berdaulat dan merdeka.
Dokumen bersejarah ini telah mentafsirkan sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan ingin tinggal dan menganggap negara ini sebagai tanah air mereka maka mereka dipanggil Bangsa Melayu. Ini adalah satu sosial konstruk yang cukup radikal yang cuba melahirkan satu bangsa dalam sebuah negara yang masih belum merdeka.
Cita-cita perlembagaan ini telah digagalkan oleh British. Seperti mana di Iraq hari ini di mana kuasa Anglo-Amerika sedang memecah pisahkan warga Iraq kepada Sunni, Shia dan Kurdish. Perkara yang sama telah pernah dilakukan kepada kita pada tahun 1947 dahulu. Sama seperti di Iraq hari ini kewargaan kita di Tanah Melayu telah dikonstruk untuk dijadikan Cina, Melayu atau India. Sosial konstruk pecah dan perintah berterusan hingga ke hari ini.
Bayangkan bagaimana rupa bentuk budaya negara kita hari ini jika draf Perlembagaan Rakyat ini diterima pakai. Pasti tidak wujud konsep Bumiputera, konsep ketuanan Melayu atau tidak akan wujud parti-parti politik yang hanya menjaga kepentingan kumpulan bangsa mereka sahaja. Politik perkauman seperti yang sedang kita lihat hari ini pasti tidak wujud. Dan parti politik India Muslim ini tidak perlu bertempik sorak untuk jadi Melayu kerana dalam Perlembagaan Rakyat ini mereka telah menjadi Melayu.
Dokumen ini membuktikan bagaimana konsep bangsa , agama dan budaya itu dimunculkan melalui konstruk sosial.
Kepada kumpulan India Muslim yang masih bercita-cita untuk menjadi Melayu dan Bumiputera, marilah kita hulurkan tangan tanda setia kawan dan kita nyatakan kepada mereka yang penting dalam hidup ini bukan untuk jadi Melayu atau Bumiputera atau menjadi komponen Barisan Nasional. Tetapi menjadi manusia yang baik di atas muka bumi ini. Juga kita tidak perlu menjadi Melayu atau Bumiputera untuk menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman.
END

