Hishamuddin Rais in Tokyo: Plastik & Kayu
PLASTIK DAN KAYU
oleh Hishamuddin Rais
Saya telah menulis tentang plastik dan melihat bagaimana dunia kita hari ini sedang di tenggelami oleh plastik. Plastik adalah sebahagian dari produk sampingan hasil dari bahan bakar petroleum. Petroleum adalah bahan tenaga yang tidak boleh diganti sesudah diguna pakai. Empat puluh tahun dahulu plastik telah wujud tetapi bukan seperti hari ini.
Jika sesiapa yang pernah melihat filem The Graduate yang di buat pada tahun 1967 pasti akan teringat satu babak di mana Dustin Hoffman yang baru saja menerima ijazah telah dinasihatkan oleh Pak Ciknya untuk memasuki bidang perniagaan plastik. Industri plastik pada tahun 60an dahulu baru saja muncul dan berkembang.
Empat puluh tahun dahulu kewujudan plastik tidaklah semeriah hari ini. Ketika saya membesar di Jelebu, saya masih ingat lagi barang-barang yang kami beli dari kedai dibungkus dengan kertas. Malah kalau ke pasar membeli sayur, daging atau ikan – pembungkusnya ialah daun. Apabila arwah emak saya ke pasar kami tidak akan lupa membawa kerpai atau beg jinjit yang dibuat dari kain di mana sayuran yang kami beli akan di masukkan ke dalam kerpai.
Hari ini perkataan kerpai telah tidak kedengaran lagi. Konsep ke pasar dengan kerpai/beg telah tidak wujud. Apa yang wujud hanyalah beg plastik dan bungkusan plastik.
Ketika saya menulis ini saya berada di Tokyo. Saya bukan pakar dalam budaya Jepun atau politik Jepun. Tetapi dalam hal plastik ini saya memiliki kesedaran tentang pembaziran khazanah bumi. Saya perhatikan hampir kesemua barang-barang yang saya beli dalam kota ini di bungkus dengan plastik. Bukan di bungkus sekali tetapi dua tiga empat kali. Kotaknya plastik, yang dibungkus sekali lagi dengan plastik dan dibawa ke rumah dalam beg plastik.
Ketika saya tinggal dalam kota London pada tahun 90an dahulu, anak-anak muda kota London telah memulakan kesedaran untuk menolak plastik. Kami di galakkan membawa beg kami sendiri apabila ke pasar raya atau ke kedai membeli makanan. Malah hari saya telah membaca berita tentang beberapa bandar dan kota di Britain yang mengharamkan penggunaan beg plastik. Pembeli diminta membawa bakul atau beg sendiri.
Di Tokyo ini, dari pemerhatian saya kesedaran menentang penggunaan plastik ini amat minimum. Semua jenis air botol, bukan hanya cola tetapi teh dan kopi juga dijual dalam botol plastik. Bahan-bahan makanan segar – ikan , daging, taufu, sayur dan buah-buahan semuanya dialas dan dibungkus berulang-ulang kali dengan plastik.
Saya tinggal seorang dalam bilik. Setiap hari saya menggunakan hampir 500 gram plastik. Ini penggunaan plastik yang agak minimum. Cawan dalam bilik hotel saya sentiasa dibersihkan dan sesudah itu ia akan di bungkus dengan plastik. Berus, ubat gigi dan pisau cukur saya berganti saban hari. Semuanya dibungkus dengan plastik.
Jika saya warga kota Tokyo dan memasak di rumah ada kemungkinan plastik yang akan saya buang mencecah satu kilo sehari. Cuba hitungkan dalam kota 30 juta lebih manusia ini, berapa tan agaknya plastik yang dibuang setiap hari. Ke mana bahan-bahan plastik ini dibuangkan? Tidak mungkin dibakar kerana ia toksik. Tidak mungkin ditanam kerana ia memiliki nyawa beratus juta tahun.
Kadang-kadang ketika duduk di cafe bersendirian saya termenung memikirkan jika dikumpulkan semua botol-botol plastik yang telah kita semua digunakan mungkin botol-botol ini telah boleh menutup seluruh bumi kita ini. Atau jika botol-botol plastik ini kita jadikan tangga, ada kemungkinan tangga ini boleh sampai ke bulan dan kita tidak perlu naik roket untuk ke sana.
Pada tahun 1974 dahulu saya telah pernah sampai ke Tokyo. Ketika itu saya masih muda. Kesedaran ekologi saya agak mentah. Walau pun muda dan mentah saya agak terperanjat kerana apabila kami makan di restoran atau membeli ‘bento’ (nasi bungkus) kami diberikan chopstick / sepitkayu. Sesudah digunakan penyepit kayu ini terus dibuang.
Saya bertanya kepada kawan Jepun saya kenapa ini dilakukan. Kenapa tidak menggunakan kayu sepit yang boleh diulang pakai. Jawapan yang diberikan ialah – kos membasuh lebih mahal dari kos kayu yang akan dibuang.
Budaya membuang sepit kayu yang telah digunakan ini telah menular juga ke negara kita walau pun tidak semeriah di kota Tokyo. Saya rasa budaya membuang sepit kayu yang telah digunakan ini adalah satu jenayah ekologi. Ia patut dilawan.
Saya terfikir jika saya tinggal dua bulan dalam kota ini berapa banyak sepit kayu yang telah saya buang? Berapa batang pokok yang telah ditebang untuk saya gunakan sebagai penyepit. Satu hari saya menggunakan minimum tiga kali penyepit kayu – minum pagi, makan tengah hari dan makan malam. Mungkin dengan kayu-kayu ini saya telah boleh mendirikan sebuah rumah.
Cuba hitungkan, 130 juta penduduk Jepun yang menggunakan 3 kali penyepit kayu dalam sehari. Semua sepit kayu ini akan dibuang satelah digunakan. Berapa hektar pokok-pokok yang telah ditebang untuk membuat penyepit kayu ini. Berapa juta tan kayu kayan yang telah di import oleh Jepun. Semua bahan-bahan kayu ini diimport dari negara-negara dunia ketiga. Berapa banyak hutan di Sabah dan Serawak yang lupus hanya kerana ingin memastikan warga Jepun dilengkapi dengan penyepit kayu?
Mungkin ada yang berhujah tentang konsep kebersihan. Saya akui kita semua wajib bersih. Tetapi kebersihan juga wajib dilihat secara menyeluruh. Hutan dan kayu kayan adalah alat pembersih udara. Tanpa hutan dan pokok oksigen tidak mungkin wujud. Jika hutan di Sabah dan Serawak telah gondol kita semua akan mati kerana kekurangan oksigen.
Kalau ada sesiapa yang dibesarkan dalam pekan-pekan kecil seperti di Kuala Klawang; pekan kampung saya di Jelebu pasti akan ingat bagaimana restoran China menggunakan penyepit yang dibuat dari buluh. Penyepit buluh akan dibasuh dan akan diulang guna. Malah hingga ke hari ini jika kita merayau-rayau ke pekan-pekan kecil di Malaysia, kita akan bertemu lagi dengan penyepit buluh ini. Penyepit buluh ini mungkin dilihat ‘kampung’ tetapi pada hakikatnya ia memiliki kesedaran ekologi yang lebih tinggi.
Pada hari ini semakin banyak restoran, warung dan kedai makan Cina dalam negara kita yang menggunakan penyepit yang dibuat dari plastik – cantik , boleh dibasuh dan diulang pakai. Sebelum sepit plastik ini diguna pakai kita celupkan dahulu ke dalam air panas. Ini untuk saya adalah penggunaan plastik positif dan memiliki nilai kebersihan.
Di Tokyo ini saya juga masuk makan ke restoran Korea. Saya perhatikan restoran Korea menggunakan sepit yang dibuat dari stainless steel. Ini samalah konsepnya dengan sudu dan garpu yang kita gunakan. Bahan ini tahan lama dan boleh digunakan hingga ke anak cucu. Justeru, saya menolak konsep – kos membasuh – yang dianggap lebih mahal berbanding dengan konsep pakai dan buang.
Saya agak marah dengan sikap Jepun dalam hal penggunaan sepit kayu. Ini kerana Jepun menjaga dengan teliti hutan belantara mereka. Mereka sedar tentang perlunya hutan dijaga tetapi mereka tidak ambil pot jika hutan-hutan di Sabah atau Serawak yang digondolkan. Ini adalah sikap ekologi juling yang lahir dari sikap nasionalisme sempit.
Hingga ke minggu ini saya masih belum bertemu kedai Korea di mana saya dapat membeli chop stick yang dibuat dari stainless steel. Rasa saya nasionalisme sempit Jepun yang memandang hina terhadap Korea patut dilawan. Kita anak semua bangsa, sebagai warga dunia wajib berani belajar dari sesiapa sahaja. Tidak malu untuk menerima yang baik dari negara yang satu ketika dahulu pernah kita jajah.
END.
notes:
“Plastic waste constitutes the third largest waste volume in Malaysian municipal solid waste (MSW), next to putrescible waste and paper.
The plastic component in MSW from Kuala Lumpur averages 24% (by weight), whereas the national mean is about 15%. The 144 waste dumps in the country receive about 95% of the MSW, including plastic waste.
The useful life of the landfills is fast diminishing as the plastic waste stays un-degraded for more than 50 years.” ‚Äì Putri Nadzrul Faizura, Institute of Biological Sciences, University of Malaya.


Memang aku pun ada hairan lah Hisham, manusia dan binatang berak dan kencing di seluruh dunia dah berjuta tahun. tahi dan air kencing tu memang penuh dengan toxic..mana agaknya tahi tahi kita tu pergi? mana pulak toxic tu hilang? Tahi lembu boleh jadi bahan bakaran tetapi tahi manusia adalah sesuatu keujudan yang tak boleh di recyclekan. Sesuatu yang paling tidak berguna sebagai product.. jadi hairan juga lah aku mana perginya tahi tahi kita dan moyang kita tu.
Plastic is not a hasil sampingan (by product), it is a product. And it’s not just going into packaging, it’s prevalent in all the products you use.
Japan has to be the most packaging happy society. Buy a pack of biscuits and each one is individually wrapped in plastic.
The only way for the production to reduce is for the demand to stop. Stores are plastic happy, buy a pack of ciggies and drink and they’ll put it in a plastic bag. In all my time here..I have very, very, very seldom heard either the sales person asking if they need a bag or the purchaser telling the sales person not to put it in one.
kondom?amacam…ada yg boleh direcycle balik?hehehe..
kalau ada condom yang boleh dimakan tak perlulah nak di recycle
sepatutnya ruangan ini dapat kita gunakan sebagai satu perbincangan intelektual yang lebih konstruktif. Disaat isham mengemukan satu pandangan tentang satu konsep ekologi betapa bahayanya sampah plastik dan penebangan hutan2 di dunia ke-3, masih ada lagi makhluk yang terang2 menunjukkan kebebalannya dengan cuba membuat lawak bangang tahap cipan tentang kondom dan pelupusan taik sendiri.
bukankah ini satu bentuk kebebalan alaf baru atau mungkin satu bentuk kebodohan yang tidak mampu dihilangkan dalam akal, kerana telah lama bersemi didalam medula oblongata….
lawak bangang lagi membangangkan…
p/s: buat isham: terima kasih kerna informasi yang begitu bernas ini…keep it up bro!
cayalah royal!!!!
relaks la royal…benda2 yang kofikir lawak tu ada juga kebenarannya…bukankah nie suma adalah produk…awak,sya n kita semua membesar dengan PRODUK tau…
paece bro..n to isham,keep itu up!!
ya la…jangan terlalu emosi la bro….ko nie…jangan cepat membangangkan orang lain…cermin diri dulu la bro…kita sama2 berdiskusi bukan hendak membangangkan orang lain…
xpeacex
ahaha,kadangkala lawak bangang juga menceriakan lapangan diskusi ini.
oh ya,benar tentang penggunaan plastik sangat berbahaya.mungkin untuk diulang-pakai tidak lah sebahaya dibuang selepas pakai.
bagi idea chopstick stainless steel,itu adalah idea yang bernas kerna mengurangkan racun-racun udara yang dibebaskan plastik tidak terlupus.
sama saja lah dengan sudu garpu yang tahan lasak yakni yang kita guna hari-hari di rumah.baru-baru ni aku ada jalan-jalan di jusco dan harga chopstick stainless steel hanya RM3.50 sepasang, tidak lah mahal mana.lagikan kalau dibanding dengan nilai sumber pokok buat chopstick kayu pakai-buang.
keep our forest alive, hutan borneo kita paru-paru dunia. kita juga yang merungut bila jerebu, udara kotor dan cuaca panas.betul?
eh,siapa nak join kempen guna totebag untuk membeli belah(pasar/shopping complex n etc.)?
kita buat printed totebag,sticker dan risalah bagi menggalakan rakyat guna alternatif bagi plastik.
ok?
great idea!!!